20 penuntut UPNM naik pesawat balik kampung sambut Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Seramai 20 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini berpeluang menaiki pesawat A 400 M dan C 130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk pulang beraya di Sabah dan Sarawak semalam.

Mereka dihantar ke tiga lokasi utama iaitu Kuching, Sarawak serta dua daerah di Sabah melibatkan Kota Kinabalu dan Tawau.
UPNM dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mereka berlepas melalui Lapangan Terbang Pangkalan Udara Subang.
Tambah kenyataan itu lagi, bantuan tersebut disediakan bagi membantu mahasiswa Sabah dan Sarawak untuk pulang beraya bersama keluarga tercinta di sana.
“Kepulangan anak-anak ke kampung halaman yang jauh di Sabah dan Sarawak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sememangnya dinanti-nantikan oleh keluarga tercinta.
“Selain daripada melepaskan rindu setelah sekian lama berkelana menimba ilmu di gedung menara gading, para mahasiswa turut dapat meraikan hari raya bersama-sama saudara mara dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran,” katanya.
Salah seorang pelajar, Aliea Maisarah Abdullah turut menzahirkan ucapan berterima kasih kepada Naib Canselor UPNM, Datuk Hasagaya Abdullah dan pihak TUDM kerana cakna membantu para pelajar dari Sabah dan Sarawak, kata hantaran itu lagi.
*Malaysiatribune.news: https://shorturl.at/osW59

Share This Post