29/01/2023 – KARNIVAL UNIVERSITY FOR SOCIETY (U4S) ZON TENGAH:KOMUNITI BANTERAS AEDES, SEMUDAH 123

Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) hari ini mengadakan program University For Society (U4S) yang merupakan inisiatif berimpak tinggi menggabungkan kepakaran tiga buah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Kolaborasi ketiga-tiga buah universiti ini bukan sahaja akan memberi manfaat tetapi dapat menghasilkan perubahan positif kepada komuniti terlibat.

Ahli Jawatankuasa U4S Zon Tengah Selangor diketuai oleh UKM melaksanakan satu projek bertajuk “Pembasmian Denggi dan Kelestarian Komuniti di Hulu Langat, Selangor”. Majlis perasmian dan pelancaran program ini yang diadakan di Padang Bola Seksyen 1, Taman Prima Saujana, Kajang disempurnakan oleh Yang Bahagia Dato’ Mohd Sharil bin Abdullah, Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM) JPT.
Usai majlis perasmian, jemputan dan tetamu kehormat meluangkan masa di tapak pameran dan kebun komuniti yang diusahakan. Selain itu, terdapat beberapa pengisian sepanjang program berlangsung seperti Explorace Jalan-Jalan Cari Jentik (JJCJJ), senaman aerobik, ceramah interakif dan tayangan video.
Pengurusan Tertinggi dari ketiga-tiga Universiti hadir pada majlis ini. Pengurusan Tertinggi UPNM yang hadir diketuai oleh Prof Ts. Dr Muhd Zu Azhan bin Yahya, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ekhwal Pelajar.Manakala majlis turut dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi UKM dan UPM, Pegawai-pegawai Kanan KPT, Majlis Perbandaran Kajang, COMBI, BASF (M) Sdn Bhd dan warga Taman Prima Saujana.

Share This Post