Program Sukarelawan Siswa Bersama Masyarakat (SUKMAR 3.0) di Perkampungan Orang Asli Leryar, Cameron Highland Pahang
6 Januari 2024 – Seramai 40 orang sukarelawan dari Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Orang Asli Health & Lifeways Project (OA HeLP) telah berganding bahu melaksanakan Program Sukarelawan Siswa bersama Masyarakat (SUKMAR 3.0) di Perkampungan Orang Asli Leryar, Cameron Highland Pahang.
Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya termasuklah pameran-pameran, pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma, penyampaian sumbangan barangan keperluan asas, gotong-royong, rewang bersama penduduk, sukaneka, pertandingan mewarna, pertandingan bola sepak dan menyumpit.
Menurut Satini Lim, pelajar tahun akhir dari Fakulti Sains & Teknologi Pertahanan UPNM, beliau menyatakan program ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempelajari budaya hidup di perkampungan orang asli bahkan berupaya membina hubungan baik dengan masyarakat orang asli walaupun berbeza bangsa agama dan budaya. Tambahnya lagi, melalui program seumpama ini, mahasiswa dapat meningkatkan pengalaman pengetahuan serta memupuk sifat kepimpinan yang tinggi melalui program bersama komuniti. Justeru, dengan aktiviti dan penglibatan mahasiswa UPNM di program perkampungan orang asli ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda masyarakat orang asli untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Majlis perasmian dan penyampaian sumbangan telah disampaikan oleh Encik Hendry yang mewakili YB Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Ahli Parlimen Cameron Highland merangkap Pengerusi Sekretariat Pembangunan Ekonomi Masyarakat Orang Asli (SPEOA) dan dibantu oleh Encik Muhammad Hazman Hussin, Pegawai Psikologi JHEPA UPNM merangkap Penyelaras Program.
Program SUKMAR 3.0 turut mendapat kerjasama dari JHEPA UPNM, Pusat Pengurusan Wakaf UPNM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang (JAKOA), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).