Sukarelawan Siswa UPNM Tabur Bakti di Bumi Thailand
THAILAND – Seramai 20 orang pelajar dari Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menjayakan Program Rejuvenasi Jejak Mahasiswa UPNM ke bumi Thailand pada 19 hingga 23 Januari 2024 bertempat di Songkhla, Thailand baru-baru ini.
Bertemakan “Tabur Bakti, Kongsi Budaya” yang memfokuskan kepada empat elemen iaitu “Transfer Knowledge, Exchange Culture, Environmental Sustainability and Spread Kindness & Awareness”. Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya termasuklah program motivasi dan pendidikan integriti di sekolah rendah dan menengah, ramah mesra bersama masyarakat setempat (Act of Kindness), pembersihan kawasan pantai, pemberian sumbangan kepada golongan muallaf dan golongan yang kurang bernasib baik.
Selain itu, sesi perkongsian serta perbincangan antara Kelab AMAR UPNM dan Refuse to be Corrupt Club Prince of Songkla University (PSU) turut diadakan melalui lawatan delegasi ke PSU. Menurut Saudara Fir’ Iskandar Daniel bin Aziz, Pelajar Tahun Akhir dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, yang juga merupakan Pengarah Program menyatakan antara hasil perbincangan tersebut, kedua-dua belah pihak merancang untuk mengadakan program kolaborasi cakna kesedaran anti rasuah dan integriti bagi mahasiswa di peringkat antarabangsa. Delegasi UPNM juga telah dibawa melawat ke bangunan aktiviti pelajar dan sekitar kampus PSU.
Menurut Encik Muhammad Hazman bin Hussin, Pegawai Psikologi JHEPA yang juga merupakan penyelaras program menyatakan program ini dapat memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang aktiviti kesukarelawanan dan libatsama masyarakat dari pelbagai budaya di samping dapat memupuk kesedaran berkaitan isu-isu rasuah dan integriti. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman, pengetahuan serta memupuk sifat kepimpinan yang tinggi melalui program bersama komuniti di peringkat global.
Program ini juga turut mendapat kerjasama dari JHEPA UPNM, UPNM Holdings, Pusat Pengurusan Wakaf UPNM dan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).