PROGRAM SUKARELAWAN SISWA BERSAMA MASYARAKAT (SUKMAR 4.0) DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI POS ISKANDAR, BERA PAHANG

23 November 2024 – Seramai 38 orang sukarelawan dari Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Econsave Wilayah Timur telah berganding bahu melaksanakan Program Sukarelawan Siswa bersama Masyarakat (SUKMAR 4.0) di Perkampungan Orang Asli Pos Iskandar , Bera , Pahang.

Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya termasuklah pameran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bera, Pusat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Tasik Bera, Solar Academy dan banyak lagi. Selain itu, terdapat juga pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma, penyampaian sumbangan barangan keperluan asas, gotong-royong, rewang bersama penduduk, pertandingan mewarna, pertandingan sukaneka dan menyumpit.

Menurut saudara Muhammad Hariz Bin Khairul Anuar, Pelajar Tahun 3 dari Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan (FSTP) selaku pengarah projek, program ini telah memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempelajari budaya hidup di perkampungan orang asli serta berupaya membina hubungan baik dengan masyarakat orang asli walaupun berbeza bangsa agama dan budaya. Tambahnya lagi, melalui program seumpama ini, mahasiswa dapat meningkatkan pengalaman pengetahuan serta memupuk sifat kepimpinan yang tinggi melalui program bersama komuniti dan membina banyak jaringan dengan rakan kolaborasi . Melalui Slot “Pendidikan Mampu Mengubah Kita” dan penglibatan mahasiswa UPNM di program perkampungan orang asli ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat orang asli untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Majlis penyampaian sumbangan dan hadiah telah disampaikan oleh Puan Sharin Toh, Pengurus Operasi Econsave Zon Pantai Timur dan Encik Muhammad Hazman Hussin, Pegawai Psikologi JHEPA UPNM merangkap Penyelaras Program. Barangan keperluan asas dan hadiah pertandingan tersebut telah disumbangkan oleh Econsave Wilayah Timur , Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Pusat Wakaf UPNM dan Warga Pelajar dan Staf UPNM. Program SUKMAR 4.0 turut mendapat kerjasama dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Bera Pahang.

Share This Post