MAHASISWA UPNM CURAH BAKTI DALAM MISI “MESRA GELANDANGAN”

Seramai 40 orang sukarelawan dari Kelab Peers Leaders Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Food For Gelandangan (FFG), KafeTEEN dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menyantuni kehidupan gelandangan dan miskin bandar di sekitar perbandaran Kuala Lumpur dalam misi “Mesra Gelandangan”.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan jayanya di tiga hentian dalam misi “Mesra Gelandangan”, iaitu bermula di Jalan Silang, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan berakhir di Jalan Belia. Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program ini termasuklah pengagihan barangan sumbangan iaitu kurma, sabun mandi, listerine dan pisau cukur. Selain itu, turut diadakan perkongsian pengalaman hidup golongan gelandangan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku bagi meningkatkan kesedaran para sukarelawan akan erti kesyukuran dan simpati. Hentian terakhir bagi misi ini ialah di Jalan Belia bagi menyantuni miskin bandar. Sebanyak 18 pek barangan keluarga yang mengandungi tepung gandum, bihun, gula, biskut dan sabun pinggan telah disumbangan oleh ahli Kelab Peers Leaders UPNM.
Antara aktiviti lain yang diadakan termasuklah permainan bersama kanak-kanak seperti Siapa Saya, Membentuk Belon, Teka Haiwan dan Masukkan Bola Ping Pong dalam Cawan, manakala remaja perempuan didedahkan dengan penjagaan kebersihan diri dan cara menguruskan haid yang dikendalikan oleh pihak KafeTEEN.
Menurut Ahmad Syahir, Pengarah Program dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, beliau menyatakan program seumpama ini dapat membantu meringankan beban golongan gelandangan dan miskin bandar dalam meneruskan kehidupan seharian. Tambahan pula, program ini dapat memberi kesedaran bahawa setiap masyarakat berperanan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat yang lain dan akhirnya membentuk sifat prihatin.

Share This Post