MAHASISWA UPNM PRIHATIN SELAMI KEHIDUPAN ANAK YATIM

16 April 2023 – Seramai 15 orang sukarelawan daripada Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengambil kesempatan dalam keberkatan fasa terakhir bulan ramadan dengan menyelami kehidupan penghuni di Asrama Anak-Anak Yatim Darul Taqwa (ASDAT) dalam program Jalinan Kasih Ramadan Mahasiswa UPNM baru-baru ini. Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPNM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan AMAR UPNM.

Mahasiswa UPNM mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama menyantuni penghuni ASDAT dengan melaksanakan pelbagai aktiviti termasuklah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) Listen Me dan Siapa Saya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah untuk membantu membangkitkan semangat mereka dalam menuntut ilmu dan mengenali kelebihan potensi serta kekurangan diri agar dapat diperbaiki ke arah yang lebih baik. Selain itu, program ini juga turut diisi dengan Slot Motivasi Ramadan bertajuk “Syukur dan Bahagia” yang disampaikan oleh Encik Muhammad Hazman Hussin, Pegawai Psikologi UPNM merangkap Penyelaras bagi program ini.
Menurut Pengarah Program, Saudara Muhammad Daniel bin Zulkifli, Pelajar Tahun 2 dari Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, program ini dilangsungkan bertujuan untuk mengimarahkan dan menzahirkan bulan Ramadan dengan meraikan golongan anak-anak yatim yang masing-masing berumur lingkungan 9 hingga 17 tahun. Ini sekali gus mampu memupuk rasa syukur dan cinta beramal ibadah menerusi amalan bersedekah, serta membentuk sifat rendah diri dalam kalangan mahasiswa.
Bagi penghuni di sini, adik Muhammad Aqeel, 17, beliau berasa gembira dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan serta amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berjumpa dengan mahasiswa UPNM kerana pada suatu hari nanti ingin mengikuti jejak langkah melanjutkan pelajaran ke menara gading. Harapannya agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan motivasi belajar dan memberi inspirasi kepadanya dan rakan-rakan yang lain.
Selain majlis berbuka puasa dan jamuan moreh, turut diadakan aktiviti pengagihan barangan sumbangan yang terdiri daripada keperluan harian dan pemberian duit raya kepada anak-anak yatim sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kos barangan keperluan, juadah berbuka puasa dan moreh adalah hasil sumbangan BSMM serta derma ikhlas daripada pelajar dan staf UPNM.
Turut hadir sama Encik Hashim yang juga merupakan Pengurus ASDAT.

Share This Post