SUKARELAWAN SISWA UPNM MENGUKIR BAKTI DI BUMI MEDAN, INDONESIA

18 – 23 Januari 2025 | Medan, Indonesia: Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Pusat Studi Konstitusi dan Anti Korupsi, Fakultas Hukum Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) telah berjaya menjayakan Program Rejuvenasi Jejak Mahasiswa (REWA 2.0) ke Bumi Indonesia pada 18 hingga 23 Januari 2025 bertempat di Medan, Indonesia baru-baru ini.

Dengan tema “Merealisasi Bakti, Membudayakan Integriti” pelbagai aktiviti telah dijalankan. Antaranya termasuklah Talk Show “Ethical Leadership: Key to Combating Corruption”, Persembahan Pertukaran Budaya Serumpun, program motivasi dan pendidikan integriti di sekolah, Pembersihan kawasan Masjid dan Desa serta Pemberian Sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.

Saudara Muhammad Ammar Danish bin Azlan, Pelajar Tahun Akhir dari Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan UPNM, selaku Pengarah Program, menyatakan bahawa program perkongsian bersama UMSU membuka perspektif baru kepada kedua-dua pihak tentang pentingnya kepimpinan yang beretika dan budaya berintegriti dalam memerangi rasuah. Pemimpin yang berintegriti akan menegakkan nilai moral dalam semua aspek kehidupan serta mendorong orang lain untuk mengikut jejak langkah yang sama. Delegasi UPNM juga telah dibawa melawat ke sekitar kampus UMSU.

Menurut Encik Muhammad Hazman bin Hussin, Pegawai Psikologi JHEPA yang juga merupakan Penyelaras Program berkata Penglibatan mahasiswa dalam program kesukarelawanan dan libatsama masyarakat akan menjadi nilai tambah kepada para pelajar UPNM dalam peluang kerjaya. Pada masa ini majikan amat meneliti graduan yang mempunyai soft skill dan seharusnya pelajar merebut peluang seperti ini untuk dimanfaatkan. Selain itu, dengan keberhasilan program ini, mahasiswa UPNM telah membuktikan kemampuan mereka untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat di peringkat global, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan generasi graduan yang holistik, berdaya saing, dan berintegriti.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Pusat Pengurusan Wakaf UPNM, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Yayasan Selgate dan LNC Print Room.

Share This Post