Sukarelawan UPNM Santuni Masyarakat Orang Asli Semelai

23 Februari 2023 – Seramai 40 orang sukarelawan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kuala Lumpur, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menyelami kehidupan masyarakat Orang Asli Semelai di Bera, Pahang dalam program “Taburan Jasa & Semaikan Budi” Sukarelawan Mahasiswa UPNM.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan jayanya termasuklah program gotong royong pembersihan Balai Adat dan kawasan sekitarnya di samping penyerahan sumbangan kipas bagi keselesaan masyarakat setempat. Selain itu, turut diadakan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma oleh sukarelawan BSMM. Komuniti orang asli juga diberi taklimat mengenai kesedaran mengesan pelbagai penyakit di peringkat awal dan kepentingan menjaga kesihatan serta pengurusan rawatan yang lebih baik.
Sementara itu, dalam pertandingan mewarna dan sukaneka, ramai remaja dan kanak-kanak orang asli mengambil bahagian. Menurut Satini Lim, Pengarah Program dari Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan UPNM, beliau menyatakan program ini dapat mendedahkan mahasiswa tentang budaya dan adat resam masyarakat orang asli. Beliau menambah dengan libatsama komuniti ini, para mahasiswa dapat memperkasakan sifat kepimpinan, kesukarelawanan dan sekaligus membentuk sahsiah mahasiswa madani.
Turut hadir termasuklah Prof Madya Kapt Ahmad Zaidi bin Sulaiman (Bersara), Pengarah Kanan Hal Ehwal Pelajar, Tn Hj Anuar Syamsi bin Hj Md Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif UPNM Holdings dan Pensyarah FPPP.
Bagi anak penduduk di sini, Mohamed, 15, beliau berasa sangat gembira dan teruja dengan aktiviti yang dijalankan sepanjang program. Bahkan beliau bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading dan berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan golongan orang asli ini tidak terpinggir. Program ini berakhir dengan penyerahan sumbangan barangan keperluan makanan dan pakaian kepada lebih 60 keluarga di perkampungan orang asli serta penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna dan sukaneka.
Turut hadir sama adalah Encik Mohamad Razif Bin Roslan, Pegawai JAKOA Daerah Bera dan Encik Muhammad Hazman Hussin, Pegawai Psikologi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UPNM yang juga merupakan penyelaras program.

Share This Post