22/09/2022 – Lawatan Medan Ke Kampung Orang Asli Gombak

Pada 22 Sep 2022, UPNM telah membuat lawatan medan ke Kampung Orang Asli, Gombak. Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan program Khidmat Komuniti UPNM dan lain-lain agensi bersama masyarakat orang Asli pada masa akan datang.

Perbincangan awal telah dilakukan di antara Mejar Kalam bin Pie TUDM (Bersara) Pengasas Jungle School Gombak, Tok Batin Ulang bin Sipang dan Pengarah Perhubungan Korporat, Pejabat Penolong Naib Canselor JIPK, UPNM.
Perkara perbincangan yang telah dibuat adalah pembangunan semula sistem paip, penambahbaikkan sistem perparitan, sistem pembuangan sampah, menaiktaraf infra perumahan komuniti, pembangunan pertanian bandar, kesedaran keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaan, pendekatan keagamaan dan kerohanian dan pembangunan kompetensi komuniti di kawasan tersebut.
Inisiatif UPNM ini adalah menyahut Inisiatif program IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNiTY) yang telah diumumkan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi semasa Majlis Amanat pada 17 Januari 2022. Amanat YB Menteri Pengajian Tinggi ialah “Memperhebat Strategi, Melonjak Kecemerlangan”, yang menggariskan tujuh strategi utama. Inisiatif yang dilakukan dalam menyokong amanat ini adalah dalam strategi kelima iaitu “Memacu Kesejahteraan Komuniti”.

Share This Post