16/08/2022 – UPNM Anjur Program Universiti For Society (U4S) Di Zon Tengah Selangor

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dipilih sebagai salah satu daripada Ketua Projek bagi Program U4S Zon Tengah Selangor untuk modul Pendidikan dan Motivasi. Program ini adalah di bawah penyeliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertujuan untuk memperkasa pengetahuan, kesedaran serta memberi latihan kepada komuniti.

Mengambil petikan Ucapan Amanat Menteri Pengajian Tinggi pada 17 Jan 2022, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata “Melalui strategi yang kelima iaitu Memacu Kesejahteraan Komuniti, saya mengharapkan agar kita dapat menggunakan bidang kepakaran IPT kita untuk membangunkan masyarakat setempat berdasarkan kepada pendekatan inovasi sosial.
Melalui inisiatif program ‘University for Society@ Keluarga Malaysia atau UNiTY’ ini, setiap IPT boleh memilih komuniti angkat di lokaliti tertentu dan membangunkan mereka mengikut bidang kepakaran atau tujahan masing-masing.”
Bagi merealisasikan Program U4S, UPNM melalui Pusat Bahasa telah mengadakan Program Pembasmian Denggi dan Kelesarian Komuniti di Kajang, Selangor dengan melibatkan tiga buah sekolah iaitu SK Saujana Impian 2 pada 21 Julai 2022, SK Saujana Impian (Sekolah Berprestasi Tinggi) pada 22 Julai 2022 dan terbaru SMK Saujana Impian pada 16 Ogos 2022.
Menerusi jalinan pendidikan dan motivasi, program bersama IPT dan komuniti setempat dapat membantu negara dalam usaha mengurangkan kes denggi ke tahap sifar (zero case). Melalui program U4S tersebut, komuniti yang terlibat telah berpeluang untuk mendapat pelbagai pengetahuan daripada pakar bidang perubatan, pendidikan dan kaunseling. Mereka juga berpeluang dibimbing untuk membentuk sebuah masyarakat yang sentiasa cakna dengan kepentingan kelesatrian pembasmian denggi.
Turut sama berkolaborasi dalam Program U4S bagi Zon Tengah Selangor adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), MARDI, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), COMBI dan BASF.

Share This Post